Nadi Quranic Centre Teruskan Pengajaran Al-Quran
BERIBI
Pusat Pembacaan Nadi Al-Quran (Nadi Quranic Centre) di Negara Brunei Darussalam berharap akan dapat membantu lebih ramai lagi masyarakat di negara ini untuk belajar membaca Al-Quran dengan meniatkan agar pahala-pahala itu akan kembali kepada mereka.
Dengan membaca Al-Quran, akan menyuburkan bumi Brunei dan masyarakat kembali kepada Al-Quran ketika berhadapan dengan apa jua masalah dalam kehidupam juga pastinya kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Pengarah Urusan II Nadi Quranic Centre, Dayang Sukmawati Dewi binti Masduki semasa ditemu bual di Nadi Quranic Cawangan Beribi, seterusnya menyatakan, pusat tersebut kini mempunyai lapan cawangan di seluruh negara, iaitu di Beribi Jangsak, Beribi Bangunan Pengakap, Lambak, Kiulap, Serusop, Jerudong, Tutong dan Kuala Belait.
Sejak penularan wabak COVID-19, pusat berkenaan katanya, turut menyahut inisiatif Kementerian Kesihatan dalam membuat penjarakan sosial (social distancing) dan tidak mengadakan sebarang perkumpulan, di mana sejak awal bulan Mac lalu, pusat itu tidak memberhentikan kelas, malah menukar pengajaran menerusi platform dalam talian (online).
Menurut beliau lagi, pelajar-pelajar di pusat tersebut rata-rata lebih suka mengikuti pembelajaran dalam talian walaupun pada awalnya mereka menghadapi beberapa kesukaran, namun ia dapat diatasi secara perlahan-lahan.
”Setelah sebulan, guru-guru sudah mendapat cara yang terbaik dan menjalankan pengajaran dalam talian secara lebih efektif yang diselangi dengan pelbagai aktiviti. Perkara ini, agar para pelajar mereka tidak mudah mengantuk dan bosan,” ujarnya.
Pembacaan tadarus Al-Quran dan bacaan Yaa Siin yang dikelolakan oleh Nadi Quranic Serusop jelasnya, juga mendapat sambutan baik, dilakukan dengan begitu komited oleh para guru pusat berkenaan.
Beliau menambah, sesi tadarus dalam talian ini dilakukan selama tiga hari dalam seminggu, bermula dari awal Ramadan, iaitu pada Selasa, Rabu dan Khamis, di mana 30 orang, terdiri daripada mereka yang bertugas di sektor-sektor kerajaan dan swasta juga orang ramai menyertainya yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
”Dalam masa yang sama, mudahan-mudahan Allah Subhanahu Wata’ala mengangkat penyakit COVID-19 ini di seluruh dunia,” ucap beliau lagi.
Pada masa ini, pusat tersebut jelasnya, mempunyai seramai 1,500 pelajar berdaftar bersama Nadi Quranic Centre di seluruh negara, yang mula beroperasi pada tahun 2016 di negara ini.
Di samping itu, pusat tersebut berharap agar dapat membantu memberikan peluang pekerjaan kepada lepasan graduan yang menamatkan pengajian mereka.
Pusat tersebut mengalu-alukan orang ramai yang berminat untuk belajar mendalami Al-Quran untuk mendaftar di pusat tersebut menerusi talian +673 7143118 atau melayari Facebook ‘Nadi Quranic LC Brunei’.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
Comments (No Responses )
No comments yet.